Rockestra: Suatu penantian dan keajaiban gabungan muzik rock serta orkestra
Jika anda penggemar muzik rock dan orkestra, konsert Rockestra oleh Lefthanded yang akan berlangsung pada 3 Jun depan adalah satu peluang harus ‘dikejar’.
Hal ini demikian kerana peminat muzik berpeluang melayan keajaiban gabungan irama rock dan orkestra sebagai satu halwa telinga yang mengasyikkan.
Ujar Man Kidal, dia bersama rakan sepentas telah merancang jadual latihan dan setiap latihan mengambil masa kira-kira lapan jam sehari menuju ke tarikh konsert.
Katanya, Rockestra adalah sebuah konsert yang sudah pun dirancang lebih lima tahun yang lalu namun tiada sesiapa pun menjangka kehadiran Covid-19.
“Lefthanded cuma sempat mengadakan jelajah konsert Rockestra ini di Singapura dan selepas itu, negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun demikian, semangat yang ada tidak pernah luntur dan sempena Lefthanded 40 tahun, Rockestra akan menemui peminat seperti yang dirancang,” ujar Man Kidal.
Man Kidal berkata demikian dalam satu temubual promosi konsert Rockestra oleh Lefthanded yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Vokalis Lefthanded, Datuk Nashrudin Elias atau lebih mesra disapa Datuk Nash beranggapan Covid-19 dan PKP sekadar satu ujian dan semua orang perlu menghormati waktu musibah.
“Syukur Alhamdulillah.. Covid-19 telah pun reda dan cita-cita Man Kidal tidak pernah luput atau dipinggirkan dan konsert Rockestra ini bukan hanya untuk Man Kidal.
“Man Kidal tidak buat konsert ini untuk dirinya sendiri sebaliknya ada keistimewaan yang saya tahu tetapi saya tidak mahu berkongsi dengan orang lain,” ujar Nash.
Dalam masa sama, Nash mewakili Lefthanded mengucapkan terima kasih kerana walaupun lebih 40 tahun, sokongan ke atas kumpulan rock itu masih berterusan.
“Masing-masing dah tua. Masing-masing dah ada cucu. Man Kidal ada 13 cucu dan saya dah nak masuk lapan orang cucu dan masing-masing sudah level ‘atuk-atuk’.
“Tapi apa-apa pun, kami nak ucapkan terima kasih kerana lagu-lagu Lefthanded masih dimainkan di radio, YouTube dan sebagainya yang disambut pula anak-anak muda,” katanya.
Lebih mengharukan, anak-anak muda tersebut bukannya lahir semasa zaman Lefthanded dan menerusi Rockesra, ia tanda kumpulan rock tersebut menzahirkan kasih-sayang kepada peminat.
“Dalam Rockestra nanti, peminat berpeluang untuk menikmati lagu-lagu yang jarang kami mainkan seperti Maya Persada, Kenangan Bersamamu, Lagenda Cinta serta banyak lagi.
“Boleh dikatakan kesemua lagu-lagu yang dimainkan dalam konsert tersebut datang daripada 10 buah album yang pernah diterbitkan sepanjang 40 tahun lepas,” katanya.
Tiket untuk Rockestra oleh Lefthanded ini dijual dengan harga RM99, RM158, RM238, RM288, RM328, RM488 serta RM588 (Meet & Greet) dan ia boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.