Masalah kesesakan lalu lintas di Bukit Katil dijangka dapat diatasi apabila projek pelebaran jalan bernilai RM300 juta mula dilaksanakan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher berkata, pelebaran jalan itu bermula dari persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka hingga ke persimpangan Semabok-Lebuh AMJ.
Menurutnya, projek pelebaran jalan tersebut daripada dua lorong yang sedia ada kepada empat lorong.
“Ini adalah projek baharu membabitkan kos RM300 juta bakal memberi keselesaan kepada pengguna yang melalui jalan ini.
“Apabila siap nanti jalan altenatif ke Bandar Hilir ini tidak akan berlaku lagi kesesakan yang teruk khususnya pada cuti hujung minggu dan kelepasan am,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan Projek Menggantikan Jambatan di Tangga Batu dan Projek Membina Jejantas bagi Sekolah Menengah (SMK) Bukit Rambai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman.
Hameed berkata, projek menggantikan jambatan sedia ada di Tangga Batu melibatkan kos RM2.9 juta itu dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan maut yang kerap berlaku di situ.
Menurutnya, jambatan itu sebelum menjadi kawasan panas adalah antara lokasi utama kerap berlaku kemalangan jalan raya.
“Alhamdulillah projek yang bermula pada 28 Januari tahun 2020 itu siap satu bulan lebih awal yang sepatutnya pada 16 Julai ini,” ujarnya.
Sementara itu beliau menambah projek membina jejantas di SMK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai melibatkan kos RM3 juta.
Katanya, projek yang bermula pada 16 Disember 2020 sepatutnya siap pada 3 Mei tahun lalu tetapi berlaku kelewatan dan siap sepenuhnya 6 Mac lalu. – SM