Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Ringgit mengakhiri penyusutannya selama tiga hari berturut-turut apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan kemerosotan dolar AS selepas data Indeks Harga Pengguna AS pada April yang dikeluarkan malam tadi adalah lebih rendah daripada jangkaan.
Memetik laporan Bernama pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan menokok kepada 4.4470/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4565/4605 sewaktu ditutup pada Rabu.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi AS menyederhana kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada April, lebih rendah berbanding anggaran konsensus sebanyak lima peratus.
Sementara itu, kadar inflasi teras berada pada 5.5 peratus, selari dengan ramalan konsensus.
“Pada umumnya, kadar inflasi AS adalah lebih rendah secara berperingkat selepas mencapai 9.1 peratus pada Jun tahun lepas, menunjukkan bahawa pendirian dasar monetari yang terbatas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menyebabkan inflasi meskipun melebihi sasaran dua peratus.
“Oleh itu, peluang untuk Kadar Dana Fed berhenti seketika semakin meningkat dan mengakibatkan kemerosotan dolar AS. Sehubungan itu, ringgit mungkin menokok berbanding unit negara maju hari ini,” katanya. – SM