Rina kecewa dengan keputusan MKT UMNO
KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi untuk menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengecewakan Datuk Seri Rina Harun.
Ketua Srikandi BERSATU itu menyifatkan sekarang bukanlah masanya untuk mengambil keputusan seperti itu kerana rakyat sedang berhadapan dengan masalah pandemik Covid-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini selain isu-isu lain berkaitan kepentingan rakyat.
“Saya sangat kecewa dengan keputusan MKT UMNO kerana ia dibuat ketika negara sedang bergelut dengan masalah Covid-19 yang perlu kita tangani bersama,” kata Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Wabak Covid-19 yang kini menjadi pandemik, tidak pernah dialami sebelum ini dan dalam masa sama, kata Rina lagi, kita juga ada isu-isu lain yang tiada kaitan dengan penyakit ini.
“Sebagai contoh saya berada di sini untuk melihat mangsa kanak-kanak yang disyaki didera.
“Jadi, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Perdana Menteri,” katanya.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya awal pagi tadi mengumumkan mengenai keputusan parti itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Rina berkata, banyak perkara dan usaha yang telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Muhyiddin yang bukan sahaja membabitkan isu menangani Covid-19 tetapi juga sosio-ekonomi rakyat dan negara.
“Banyak yang sudah PN lakukan. Bayangkan dalam tempoh setahun iaitu bermula Mac sehingga Julai, lapan pakej bantuan yang telah Muhyiddin berikan bernilai RM380 bilion dan ini bukan sedikit bagi tempoh setahun.
“Kerajaan juga berusaha sedaya upaya mempercepatkan program vaksinasi agar ramai rakyat dapat menerima suntikan vaksin sekali gus mengurangkan kes serta menyekat penularan wabak berkenaan. Semalam, saya dimaklumkan sudah mencapai 375,000 iaitu yang tertinggi,” katanya.
Rina berkata, beliau secara peribadi turun padang hampir setiap hari bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat menerusi program Bantuan Bakul Makanan dan juga pelbagai bantuan kebajikan yang lain.
“Justeru saya sangat kecewa jika ada sesetengah pihak yang cuba untuk mempolitikkan sesuatu isu ini,” katanya. – SM