Sukan

Richard idam raih banyak lagi kejayaan di LTdL 2020

KOTA KINABALU, 6 Feb  — Selepas mengungguli perlumbaan Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu, iaitu pembuka tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini, pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid semakin teruja untuk meraih lebih kejayaan pada edisi kali ini.

Pelumba berusia 26 tahun yang mewakili pasukan Jelajah Dunia, NTT Pro Cycling team, muncul pelumba pertama melepasi garisan penamat dalam kumpulan besar selepas melengkapkan sembilan pusingan perlumbaan yang berlangsung di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Namun, Richard mendedahkan kejayaan hari ini bukan diraih dengan mudah kerana beliau menghadapi saingan yang agak sengit daripada pelumba pakar pecut dari pasukan profesional dunia lain berikutan laluan yang landai.

“Ia sesuatu yang sungguh hebat, untuk meraih kejayaan pada awal musim, dan semua bekerja keras dalam satu pasukan, saya berbangga dengan pencapaian ini.

“Tekanan amat dirasai sebelum perlumbaan peringkat pertama, tapi kami berada dalam keadaan yang baik dan berharap dapat meneruskan kejayaan pada perlumbaan esok,” katanya.

Pelumba negara, Mohd Harrif Saleh daripada Terengganu Inc-TSG Cycling Team dan pelumba Australia, Black Quick daripada St George Continental Cycling Team masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Ketua pegawai perlumbaan mengisytihar 10 pelumba terbaik yang melepasi garisan penamat dalam  kelompok besar dengan catatan masa satu jam 32 minit  01 saat.

Perlumbaan peringkat pertama esok akan membabitkan jarak sejauh 96.2 kilometer sekitar bandar raya Kuching dengan tiga zon pecutan di Sejingkat, Kuching dan third passage.

LTdL2020 menyaksikan Borneo kembali dalam senarai laluan perlumbaan selepas 23 tahun.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button