Nasional

Replika durian terbesar di Melaka jadi tarikan

MELAKA mencatat satu lagi sejarah apabila replika Durian yang dihasilkan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai replikasi durian terbesar di Malaysia yang akan ditempatkan di Galeri Warisan Kota Melaka.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, replika durian itu berukuran 6.3 meter tinggi, 3.3 meter lebar dan 2 meter garis pusat adalah replika terbesar pernah dicatatkan setakat ini.

Menurutnya, replika durian yang diiktiraf MBOR diharap menjadi salah satu tarikan baharu pelancong di Melaka selain merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik serta memberi peluang kepada pengunjung datang bercuti di negeri ini.

Beliau berkata, replika durian itu adalah hasil usahama Tourism Malaysia dengan syarikat Duricious Sdn. Bhd. (D’King) bersempena Malaysia International Durian & Cultural Festival.

“Kementerian melalui Tourism Malaysia sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang mempromosikan produk-produk baharu tempatan seperti minuman, makanan dan buah-buahan tempatan.

“Kita kaya dengan pelbagai jenis buah tempatan jika hendak dibandingkan negara jiran mereka tidak ada sumber ini tetapi sebaliknya kita ada selain produk-produk kebudayaan yang turut kita pamerkan,” ujarnya kepada pemberita selepas perasmian program Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022 di Pusat
Pelancongan (TIC) Jalan Kota di sini hari ini.

Majlis perasmian turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Ditanya mengenai kedudukan replika durian yang diletakan bersebelahan tapak kubu lama Santhara berkata, ia tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurutnya, hasil perbincangan pihak kementerian dan kerajaan negeri tapak replika itu hanya untuk tempoh tiga hari sebelum ia akan dipindahkan ke tempat asal di hadapan Galeri Warisan Kota Melaka.

“Kita faham dan sensitif dengan perkara ini dan saya beri jaminan replika tersebut tidak menganggu dan hanya ditempatkan berhampiran tapak sejarah buat sementara waktu,” ujarnya.

Sementara itu Muhammad Jailani Khamis berkata, replika yang dibuat daripada fiber dan bukannya terdapat kerja-kerja piling selain ia mematuhi peraturan telah ditetapkan UNESCO.

Mengulas mengenai program berkenaan Santhara berkata, penganjuran acara tersebut merupakan salah satu usaha Tourism Malaysia untuk menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong domestik ke Melaka di samping memasarkan hasil keluaran makanan serta produk buah-buahan tempatan.

Sepanjang tiga hari program dianjurkan itu pengunjung berpeluang mendapatkan 12 jenis makanan dan minuman seperti Cendol Kampung Hulu, Coconut Shake Batu Berendam, Kuih Keria Antarabangsa, cucur udang dan banyak lagi kios jualan dibuka dengan kerjasama Melaka Restaurant & Cafe Owner (MRCO). -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button