Nasional

Remaja warga India rentung bas ekspres terbakar

SEORANG remaja perempuan warga India rentung dalam kejadian bas ekspres dua tingkat terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, empat lagi ahli keluarga mangsa turut cedera di mana dua daripadanya berusia 69 dan 45 tahun masing-masing melecur 50 hingga 80 peratus.

Salah seorang mangsa teruk melecur dibawa untuk mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Menurutnya, kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Melaka.

Beliau berkata, remaja yang maut dikenali sebagai Yafarah Taj Fakrudin Hussaini berusia 17 tahun yang datang melancong ke negara ini bersama keluarganya dari Chennai, Tamil Nadu.

Katanya, seramai 23 mangsa yang menaiki bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri.

“Hasil siasatan mendapati, sebelum kejadian telah berlaku kemalangan awal melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri.

“Penunggang sempat bangun menyelamatkan diri ke kiri jalan dan tidak lama selepas itu datang bas ekspres dari Singapura lalu melanggar dan menyeret motosikal berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, kesemua mangsa duduk di tempat duduk belakang bas dan terperangkap tidak dapat keluar menyebabkan seorang maut manakala empat ahli keluarga cedera parah akibat melecur.

“Lima mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan, namun salah seorang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, ” ujarnya.

Menurutnya, dua mangsa yang teruk melecur dalam keadaan diintubasi kerana mengalami tahap melecur 80 dan 50 peratus.

Ujarnya, pemandu bas berusia 24 tahun dan pembantunya berusia 46 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button