Remaja durjana ragut masa depan kanak-kanak perempuan 5 tahun
Suspek tinggal di belakang rumah mangsa
TANGISAN berpanjangan seorng kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di hadapan ayahnya telah membongkar perbuatan terkutuk yang diperlakukan ke atas mangsa oleh seorang remaja lelaki pada Khamis lalu.
Kanak-kanak itu menangis teresak-esak selepas dia pulang dari rumah jirannya yang hanya terletak di belakang rumah mereka di Kampung Alor Tembusu, Dungun, Terengganu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.
Menurut sumber seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian, bapa kanak-kanak perempuan itu terkejut melihat keadaan anaknya yang menangis seperti dalam kesakitan.
Bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 30an dikatakan cuba memujuk anak perempuannya itu dan bertanya, mengapakah dia menangis?
Menurut sumber itu lagi, dalam nada teresak-esak, mangsa memberitahu bahawa dia sakit di bahagian sulitnya kerana suspek yang dipanggil dengan panggilan ‘abang’ ada memasukkan sesuatu ke dalam bahagian sulitnya.
Mangsa memberitahu ayahnya yang semasa sampai di rumah suspek, suspek yang berusia 18 tahun ada memanggilnya dan mengajaknya masuk ke dalam bilik tidur.
“Semasa kanak-kanak itu bersama suspek (berdua sahaja) berada di dalam bilik tidur, suspek dikatakan terus menekup mukanya dengan sehelai kain tuala sebelum mulut mangsa disumbat dengan sesuatu.
“Pada ketika itu, mangsa memberitahu yang dia ada merasa sakit di bahagian sulitnya dan tidak tahu apakah yang dilakukan oleh suspek kerana matanya juga ditutup,” kata sumber berkenaan.
Kata sumber itu lagi, disebabkan terlalu sakit, mangsa menangis tidak berhenti sebelum dia disuruh oleh suspek pulang segera ke rumah.
Bapa mangsa yang terkejut mendengar penjelasan anak perempuannya it uterus menghubungi isterinya yang sedang bekerja dan meminta isterinya pulang segera.
“Sejurus dimaklumkan oleh suaminya kejadian yang menimpa anak mereka, wanita itu terus pergi ke rumah suspek lalu bertanya, adakah benar apa yang diberitahu oleh anaknya.
“Suspek tanpa rasa bersalah, telah mengaku ada melakukan semua itu ke atas mangsa,” kata sumber.
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, ibu bapa mangsa telah membawa anak mereka ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan dan membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Sup. Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Laporan dibuat oleh ibu bapa mangsa dan mangsa masih berada di HSNZ untuk pemeriksaan selanjutnya. – SM