Rekod Pembayaran Lampau Buruk Punca Gagal Beli Rumah Walaupun Pendapatan Serba Layak
Meskipun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kadar peratusan untuk pinjaman bank bagi pembelian rumah pada tahap rendah, pembeli harus kaji beberapa perkara sebelum berkata setuju.
Antaranya bagaimana corak pembayaran komitmen kepada bank atau syarikat pinjaman lain yang memiliki silang rekod dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tempoh 12 bulan.
Biarlah ejen jual rumah itu ungkapkan kata-kata manis untuk anda bayar deposit dan serahkan dokumen dengan harapan cuba dahulu, risiko untuk kecewa tetap akan ada.
Hal ini demikian kerana walaupun pendapatan bulanan anda pada tahap serba layak, sekiranya semasa PKP yang lepas anda ada sedikit tersangkut, ia menjadi satu penghalang besar.
Dalam erti kata lain, target untuk mendapatkan pinjaman bank bagi pembelian rumah akan ditolak jika anda pernah ‘tersangkut’ untuk membayar kereta, motorsikal atau pun PTPTN.
Nampak seperti remeh walaupun anda sudah melepasi fasa bermasalah itu dengan mengukuhkan semula ekonomi namun setiap bank tetap merujuk kepada rekod di BNM.
Sehubungan itu jika anda ingin membeli rumah atau membuat pinjaman baharu, pastikan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh anda ingin memohon, rekod pembayaran lain telah ‘bersih’.