Politik

Rekod Covid-19 mungkin lebih baik jika masih di bawah Dr. Dzulkefly, PH

JANGKITAN kes Covid-19 yang semakin meningkat ibarat memberi peluru kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk mengkritik  kepimpinan Perikatan Nasional.

Kit Siang dalam hantaran terbaharu di media sosialnya berkata, jangkitan Covid-19 mungkin boleh diatasi di bawah kepimpinan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly bin Ahmad dan Pakatan Harapan.

“Para Menteri Perikatan Nasional yang tidak bertanggungjawab sering mendakwa yang negara kita akan berhadapan dengan lebih banyak jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Namun, kebenarannya amatlah berbeza. Di bawah Menteri Kesihatan Pakatan Harapan, Dr. Dzulkefly Ahmad, sebelum berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 dan sebelum negara kita dilanda oleh gelombang kedua wabak Covid-19 ini, Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan wabak ini,” kata Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, sebelum ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan peralihan kerajaan dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional, Malaysia hanya mencatatkan 21 kes Covid-19 terkumpul dengan sifar kematian setakat 15 Februari.

Sementara hanya satu kes baharu di antara 16 hingga 26 Februari yang membawa jumlah terkumpul kes positif kepada 22 kes.

Namun, gelombang kedua wabak ini yang berlaku di bawah pemerintahan Perikatan Nasional, Malaysia kini mencatatkan sejumlah 11,484 kes dengan 136 kematian.

Kit Siang berkata, jika dilihat daripada rekod Dr. Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, besar kemungkinannya kerajaan Pakatan Harapan dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding kerajaan Perikatan Nasional.

“Mungkin, dengan pimpinan Dzulkefly dan kerajaan Pakatan Harapan, tanpa berlakunya Langkah Sheraton, kita akan mempunyai rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand dalam melawan wabak Covid-19 memandangkan jumlah penduduk di Malaysia adalah kira-kira setengah jumlah penduduk di Thailand, jika kita berjaya mengelakkan daripada berlakunya gelombang kedua di bawah sebuah kerajaan pintu belakang.

“Akibat Langkah Sheraton dan kerajaan pintu belakang ini, sedangkan seluruh dunia sedang risau mengenai gelombang kedua penularan wabak Covid-19, kita perlu merisaukan mengenai penularan gelombang ketiga!” kata Kit Siang.

Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi hari ini iaitu 287 kes sejak negara dilanda wabak berkenaan. Kes aktif Covid-19 kini meningkat kepada 1,540 orang.

Peningkatan kes Covid-19 berlaku selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Sabah yang bermula dengan hari penamaan calon pada 12 September selepas kemasukan beramai-ramai anggota parti politik dari negeri lain ke negeri tersebut dam kemudian pulang ke negeri masing-masing selepas pilihan raya tamat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button