Sukan
Regu Malaysia juara sepak takraw dunia, tewaskan Thailand
NAMPAKNYA sistem kiraan 15 mata dengan satu servis memihak kepada Malaysia apabila muncul juara sepak takraw Piala Dunia ISTAF menewaskan musuh tradisi, Thailand.
Sebelum ini, ketika menggunakan sistem 21 mata, Malaysia dilihat begitu sukar untuk menggugat negara jiran itu sama ada di peringkat ASEAN mahupun dunia.
Tetapi semalam, Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, menjadi saksi saksi kegemilangan pasukan Malaysia untuk menamatkan badi berdepan Thailand.
Regu negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias untuk menampilkan sebuah permainan berkualiti menentang skuad Gajah Putih yang diketuai oleh pemain handalan, Poramet Siriwat.
Seawal set pertama para pemain Malaysia telah mendominasi permainan termasuk sumbangan ketajaman servis tekong negara untuk mengutip mata demi meletakkan Malaysia selesa di depan.
Bagaimanapun pasukan Thailand yang dibimbing oleh Prawet Intra turut memberi cabaran melalui asakan mata demi mata selain ingin merapatkan jurang permainan.
Di babak kedua Thailand menampilkan corak permainan yang berbahaya mengekor rapat setiap mata dan mencuba untuk mendahului pemainan.
Namun pasukan kebangsaan keka utuh menerima asakan Thailand itu dengan terus mengumpul mata berharga sambil dibantu oleh sorakan hangat peminat tempatan yang membanjiri stadium keramat itu.
Malaysia menjuarai acara regu dengan kemenangan bergaya sekali gus menjuarai kejohanan tersebut di tempat sendiri. – SM