Reformasi Penjara sedang dilaksana bagi kurangkan kesesakan dan residivis
JABATAN Penjara Malaysia sedang melaksanakan Reformasi Penjara yang bertujuan antaranya untuk mengurangkan kesesakan dan residivis di seluruh penjara termasuklah Penjara Sungai Buloh.
Menerusi Reformasi Penjara, terdapat beberapa usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan penjara.
“Antaranya ialah pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara dan bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan lagi perbicaraan
“Selain itu, memfokuskan lagi program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini telah melibatkan seramai 82,487 banduan dan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, program pemulihan dalam komuniti tersebut turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
“Jabatan Penjara Malaysia akan menggunakan bekas tapak PLKN sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit.
“Jabatan Penjara juga sedang mengkaji penggunaan EMD kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelakkan mereka ditahan di penjara,” kata kenyataan itu.
Melalui langkah yang telah diambil masalah kesesakan yang dialami oleh Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.
“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4200 banduan, iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada.
“Kadar ini berdasarkan ketetapan antarabangsa. Langkah mengurangkan kesesakan tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah
banduan reman,” ujar Jabatan Penjara Malaysia. – SM