Rawatan dialisis 50 Rupee untuk golongan miskin di India
Dr. Fuad Halim menurunkan harga serendah 50 Rupee
KETIKA Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan lockdown dalam usaha kerajaan membendung Covid-19, rata-rata penduduk India dilihat lebih bimbang tentang kebuluran berbanding virus pandemik itu.
Lebih buruk lagi apabila kerajaan melanjutkan tempoh lockdown dan itu tentunya menjadi satu bebanan kepada golongan miskin dan mereka yang bergantung hidup melalui mata pencarian dengan bayaran upah harian.
Times of India melaporkan, menyedari situasi itu, seorang doktor, Fuad Halim tampil menawarkan kos rawatan dialisis serendah 50 Rupee (RM2.87) kepada pesakit di pusat dialisisnya yang terletak di Kolkata.
Dr. Fuad Halim berkata, pada awal penubuhan pusat itu pada tahun 2008, beliau mengenakan bayaran 500 Rupee (RM28.70) kepada setiap pesakit.
Pun begitu katanya, jumlah itu dikurangkan sehingga 350 Rupee (RM20) menjelang awal tahun ini kerana tujuan asas penubuhan pusat itu ialah membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan.
“Pada minggu pertama lockdown, ramai pesakit datang mengadu yang mereka tidak dapat datang untuk menjalani rawatan dialisis kerana tidak mampu membayar,” kata Dr. Fuad.
Dr. Fuad memberitahu, mengambil kira penderitaan yang dilalui oleh golongan kurang berkemampuan, beliau mengambil keputusan mengurangkan kos bayaran kepada 50 Rupee.
“Pesakit ini tidak ada pilihan lain, sama ada pandemik atau tidak, mereka perlu menjalani rawatan dialisis untuk terus hidup,” ujar Dr. Fuad. – SUMBER ASTRO AWANI – SM