Rasuah politik atau bantuan ikhlas kerajaan?
SAYA tidak terkejut apabila kerajaan tiba-tiba mengumumkan pemberian bantuan kewangan khas kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM300 dan dan pesara pula sebanyak RM200.
Sahabat saya sambil menghirup kopi berkata, ini juga satu bentuk rasuah politik, sambil rakan di sebelahnya menjeling kerana dia kakitangan awam yang bakal mendapat laba berkenaan.
Begitulah betapa tipisnya perbuatan rasuah dengan bantuan atau sumbangan. Yang membezakannya adalah ia dibuat ketika musim apa? Jika di musim tengkujuh wajarlah. Ramai yang terkesan kerana tidak dapat mencari rezeki seperti biasa.
Namun apabila dibuat ketika musim pilihan raya dan bukannya perayaan, ia menimbulkan persoalan apakah niat sebenarnya. Tentu ada udang di sebalik mee.
Zaman bantuan tunai secara langsung ini diperkenalkan semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Selain membeli hari rakyat, ia juga meningkatkan kuasa beli rakyat dan sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi bagi mengelakkan penguncupan.
Najib juga menggunakan kaedah yang sama ketika melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) iaitu sambil menyelam, minum air. Bagaimanapun beliau dan kerajaan pimpinan beliau lemas dan tewas juga.
Dewasa ini terdapat 1.7 orang penjawat awam dengan 800,000 pesara. Jumlah yang terlibat memang besar dan inisiatif ini memberi impak besar. Itu belum didarab dengan empat ahli keluarga terlibat.
Bahkan ia boleh dijadi sebagai bahan kempen pilihan raya negeri yang sangat ampuh dan jika terdapat pemimpin pembangkang yang membantahnya, silap silap ia boleh memakan diri.
Namun setakat ini hanya Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja yang berani menegur dan menggesa kerajaan menghentikan amalan memberikan ‘sagu hati pilihan raya’ seperti yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu.
Syed Saddiq memuat naik hantaran di laman Facebook miliknya berhubung ‘bantuan khas RM300 buat penjawat awam’ dan mempersoalkan pengumuman itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Biasanya kita dengar bantuan khas ini diberikan apabila pembentangan bajet, musim perayaan.
“Tapi sekarang? Kenapa pengumuman tiba-tiba? Sebab minggu depan PRN?” katanya.
Terdahulu Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, bantuan khas penghargaan sebanyak RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Beliau berkata, kerajaan hari ini perlu menjadi lebih baik dan tidak mengikut jejak langkah kerajaan terdahulu.
“Dulu bila pihak lawan buat perkara yang sama, “Duit adalah raja” dan “Kerajaan Barisan Nasional (BN) Tabur ‘Gula-Gula’.”
“Sekarang? Buat benda sama? Jangan kita ulang budaya “sagu hati pilihan raya” kerajaan dahulu,” katanya.
Namun kebanyakan pengguna meninggalkan komen yang tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq.
Malah, terdapat komen yang mempersoalkan tindakan Syed Saddiq dengan menyatakan bahawa beliau sentiasa tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan.
Namun Anwar kelihatan begitu agresif bagi menambat hati rakyat dalam masa sehari beliau hadir pelbagai majlis dan acara. Contohnya semalam beliau ke Seremban bagi Majlis Apresiasi Guru-Guru Negeri Sembilan sambil diapit Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Dalam ucapan, beliau singgung pentingnya menghargai jasa dan pengorbanan guru tanpa mengira status seseorang kerana gurulah yang berperanan dalam mencorak pelapis dan generasi pemimpin negara.
Sementelahan, para guru mendidik juga kebhinekaan lapisan masyarakat demi masa depan negara selain menopang hala tuju institusi pendidikan ke arah fasa lebih maju serta berdaya saing di peringkat global.
“Saya turut maklumkan, peruntukan kepada institusi pendidikan antara yang tertinggi diberikan Kerajaan Perpaduan selain tambahan dari Kerajaan Negeri demi memastikan martabat institusi pendidikan negara berada pada landasan yang betul,” katanya dalam hantaran ke media sosial.
Ketika berucap di Karnival Segalanya Felda di Dataran Seri Jempol, Anwar maklumkan bahawa Kerajaan akan mengemukakan cadangan pembinaan Lebuhraya Madani Seremban-Jempol pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bulan hadapan.
Ia bakal memberi manfaat kepada masyarakat Felda dan rakyat, namun ia bergantung kepada keupayaan ekonomi negara dalam tempoh setahun ini.
“Sebagai Perdana Menteri, saya memahami pembinaan lebuh raya itu akan mengangkat taraf kehidupan rakyat dengan penambahbaikan fasiliti yang akan menjimatkan masa perjalanan,” kata Anwar.
Dalam lawatan ke Jempol, beliau juga sempat singgah ke Masjid Tuanku Muhriz untuk solat Asar berjemaah selain menyantuni Ahli Jawatankuasa Masjid dan masyarakat setempat.
Nampaknya belum masuk hari penamaan calon, pilihan raya enam negeri ini semakin panas serta rancak dan diharapkan ia mampu menarik peratusan lebih tinggi rakyat yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri dan pemimpin.