Nasional

‘Rasuah Busters’ kumpul kepakaran secara sukarela untuk hapuskan rasuah

SEBANYAK 15 individu dengan kepakaran dalam bidang masing-masing secara sukarela menyertai Pasukan Teras Rasuah Busters untuk memerangi budaya rasuah.

Ketua Pasukan Rasuah Busters yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kesemua individu terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum.

“Pasukan ini akan menjadi gandingan pemikir dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerka kerja serta pembentukan jalinan strategik untuk membanteras pandemik rasuah.

“Mereka juga akan menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan impak keberhasilan gerakan Rasuah Busters berjaya mencapai seluruh segmen masyarakat dalam negara,” katanya dalam sesi memperkenalkan ahli Pasukan Teras Rasuah Busters di Kompleks Karangkraf, Shah Alam semalam.

Selain Hussamuddin, ahli Pasukan Teras Rasuah Busters ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy; Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas, Fazrul Fahmee Ismail; Profesor Adjung Taylor’s Uni’s School, Harmandar Singh; Penulis, Chiew Ruoh Peng dan wartawan, Dr G Manimaran.

Menurut Hussamuddin, gabungan ini diharap dapat melakukan transformasi sistem nilai secara harmoni berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Rasuah perlu diatasi dengan memutuskan rantaian di peringkat kecil atau ikan bilis hingga ke peringkat atasan yang juga dikenali sebagai jerung.

“Langkah ini penting memandangkan rasuah kini sudah berakar umbi di dalam ekosisten masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, gerakan Rasuah Busters mengambil pendekatan desentralisasi iaitu Pasukan Pusat Rasuah Busters (PPRB) di peringkat pusat bertindak sebagai pemula.

“PPRB bertindak membentuk kesedaran dan penyediaan material asas, kepakaran, skil dan pengetahuan berkaitan bagi memulakan dan memperkembangkan gerakan #RasuahBusters.

Ujarnya, RasuahBusters membantu menyusun asas sikap serta tingkah laku yang diperlukan bagi mewujudkan budaya positif untuk mengelakkan pengambilan dan pemberian rasuah.

“Kita juga berusaha dalam bentuk kerangka yang lebih besar untuk membantu negara melalui proses dan struktur penting yang mendatangkan impak jangka masa panjang,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button