DUA masalah utama dari aspke struktur yang melemahkan ekonomi negara iaitu ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar dan perkara kedua, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang lemah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk tangani dua perkara ini, rasuah terlebih dahulu perlu diperangi sebelum masalah struktur itu diselesaikan.
“Kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sistemik, dari peringkat atas, peringkat penengah hingga ke peringkat bawahan.
“Kita hadapi perkara ini di tiap peringkat. Rakyat terpaksa terbeban dengan kerenah, peel beberapa orang yang masih mahu mengaut komisen harga sebelum apa-apa kelulusan diperolehi.
“Maka, soal rasuah ini saya tekankan kerana ia menjadi barah utama yang melemah ekonomi negara, serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, tahun pertama mentadbir, Kerajaan Perpaduan juga menegaskan keperluan mengehentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan.
“Sekian lama rundingan terus yang tidak telus telah membazirkan wang rakyat dan terdedah kepada rasuah. Ini telahpun dihentikan.
“Ada dalam kalangan rakyat yang membangkitkan, jika benar rasuah masih bermaharaja lela, mengapa tidak kerajaan segera menghukum mereka?
“Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan Selasa.