Ramkarpal kongsi gambar edit: W for Warisan
AHLI Parlimen DAP Ramkarpal Singh berkongsi gambar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bersama pelajar Veveonah yang telah disunting di Twitternya.
Dalam gambar yang diedit itu, dua simbol huruf V yang dibuat oleh Muhyiddin dan Veveonah telah dirapatkan menjadi huruf W.
“W for Warisan’, ciap Ramkarpal di Twitternya.
Dalam gambar asal Muhyiddin dan Veveonah mengayakan simbol v menggunakan jari masing-masing yang diletakkan di bawah mulut mereka.
Dalam budaya popular simbol tersebut mengambarkan senyuman. Isyarat itu juga sebagai simbol kemenangan. Namun dalam kontek Veveonah ia jelas merupakan huruf pertama nama gadis tersebut.
Veveonah telah berkongsi gambar asal itu dalam Instagramnya dan menyifatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai insan yang merendah hati.
Pelajar yang sebelum ini dilanda kontroversi apabila dituduh menipu oleh dua timbalan menteri turut menyifatkan perdana menteri sebagai seorang yang luar biasa.
“Dia seorang yang rendah hati dan luar biasa. Terima kasih banyak, Tan Sri,” kata Veveonah di Intagramnya.
Kontroversi melibatkan pelajar bijak itu bermula apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam perbahasan di Parlimen mendakwa remaja itu tidak menjawab sebarang peperiksaan ketika rakaman video memanjat pokok dibuat.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri juga menyokong dakwaan Zahidi terhadap Veveonah Mosibin.
Isu tersebut telah digunakan oleh pembangkang untuk menyerang Zahidi dan juga kerajaan Perikatan Nasional.
Ada antara mereka menyifatkan Zahidi dan Abdul Rahim cuma membuli Veveonah dan mendesak kedua-dua timbalan menteri itu dipecat.
Veveonah, dari Pitas, Sabah, menjadi perhatian pada Jun lalu susulan videonya terpaksa memanjat pokok di kampungnya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik dalam membolehkan beliau menjalani ujian, tular di internet.
Gadis itu dan kedua ibu bapanya telah menerima permohonan maaf daripada kerajaan melalui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Sempat bertemu Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan,” kata Khairy Jamaluddin dalam satu ciapan di Twitter baru-baru ini.-SM