Ramai Bersetuju Akaun Bekas Suami Yang Ingkar Bayar Nafkah Wajar Dibekukan!
Pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri dijangka dilaksanakan pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi berkaitan lain berhubung usaha itu yang bukan terletak pada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja kerana turut membabitkan Mahkamah Syariah dan pelbagai pihak untuk hal berkaitan tuntutan.
“Kementerian akan membantu selaraskan supaya mereka yang menjadi mangsa dan patut mendapat hak akan diberikan keadilan sewajarnya. Justeru kementerian akan adakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan.
“Oleh kerana pengumuman sudah dibuat, sekarang tunggu pelaksanaan dan kita akan cuba laksanakan tahun ini juga berdasarkan daripada perbincangan dan pelaksanaan dengan agensi berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Wajah Baharu Hospital MDC PUSRAWI, Kota Damansara, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.
Perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami. Selain itu, kerajaan akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita.
Mengulas lanjut, Rina berkata, pengumuman itu sudah pasti disambut baik oleh wanita yang dianiaya bekas suami yang gagal membayar nafkah.
“Ketika ini banyak kes bekas suami gagal membayar nafkah walaupun sudah diperintahkan mahkamah. Jadi apabila pengumuman sudah dibuat apabila sudah mendapat perintah mahkamah, akaun itu akan dibekukan, maka institusi kewangan akan bayar secara terus kepada bekas isteri.
“Saya kira ini satu pengumunan yang sangat baik dan perlu disambut oleh semua wanita yang terbabit,” katanya.
November lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan, suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah berdepan tindakan sekatan akaun bank selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dilulus dan diwartakan.
JKSM menjejaskan, pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga, iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.