DALAM zaman yang sangat dinamik dan sentiasa bergerak pantas ini, semua rakyat mesti saling bekerjasama mendukung dan merealisasikan wawasan negeri dan juga negara.
Tiada siapa pun yang perlu tercicir ke belakang.
Setiap rakyat berhak menikmati faedah dari pembangunan negeri dan negara.
Setiap dari kita wajib memainkan peranan aktif, mengambil inisiatif dengan kreatif untuk merebut segala peluang yang wujud hasil dari pelaksanaan pelbagai dasar pembangunan negeri dan juga negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan Ke-55 bagi tahun 2023 yang bermula di pekarangan Masjid Al-Maghfirah, Kepala Batas Pauh, Sanglang yang terpaksa diadakan dalam suasana hujan lebat.
Tiga asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan disantuni Baginda dengan menyampaikan agihan zakat MAIPs, sekampit beras fidyah dan sekotak bahan makanan mentah.
Mereka yang bertuah dijejaki pada kali adalah Che Uni Wahab, 82, tinggal di Kampung Permatang Kersik; Suzila Ahmaf, 47, di Kampung Permatang Bongor; dan Shafiai Rejab, 75 di Kampung Pauh Sanglang.
Sebanyak RM2,100 disalurkan oleh MAIPs pada kali ini. – SM
BACA Prihatin sesama insan ciri Muslim sejati – Raja Muda Perlis