Rakyat kena hargai kepelbagaian budaya – Raja Muda Perlis
Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menghargai kepelbagaian budaya dan keharmonian negara yang tercinta ini. Perpaduan kita adalah bukti kekuatan nilai dan prinsip kita bersama.
Sebarang tuturan atau tingkahlaku ke arah kebencian, perkauman, diskriminasi kaum, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan tindakan ekstremisme boleh mengganggu keamanan dan keharmonian yang wujud di negara ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan, Kuala Perlis baru-baru ini.
Semasa kayuhan juga Raja Muda Perlis turut berkenan singgah bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga keluarga asnaf terpilih di sepanjang laluan.
Ketiga-tiga penerima terpilih pada kali ini ialah Zalilawati Aliyas, 51, Che Rosiah Ismail, 81 dan Hassan Nayan, 66. – SM