Rakyat jelak dengan politik berlebihan
Oleh Awang Belanga
DUA tiga hari ini saya berasa tenang melihat berita di TV3. Tahniah kepada sabahat saya yang menjadi bos besar di stesen televisyen berkenaan.
Berita yang dipaparkan lebih tertumpukan kepada masalah penularan Covid-19 di dalam negara dan di luar negara.
Tiada berita politik walaupun secebis. Akhirnya TV3 memahami penonton sudah jelak dengan cerita politik yang berlebihan.
Kembalikan TV3 dilandasan asalnya dengan berita dan cerita rakyat. Cukup-cukuplah cakap politik yang tidak berkesudahan.
Biarlah orang politik meroyan di media sosial dan portal picisan. Dan apabila mereka tidak dilayan akhirnya mereka sedar rakyat sudah bosan.
Saya bersetuju dengan Tan Sri Annuar Musa yang menggesa para pemimpin Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan polemik tentang jawatan dalam kabinet.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada membela rakyat seperti ketika mereka berada di barisan pembangkang.
Baru terhidu sedikit kekuasaan, janganlah mudah kecanduan dan kemaruk kuasa.
Bertolak ansurlah sedikit ketika negara berdepan dengan pelbagai krisis termasuk yang paling meresahkan adalah ekonomi yang semakin memburuk.
Jangan diburukkan lagi situasi dengan bencana politik yang akan merosakkan kestabilan negara yang kita cintai.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga tenang berdepan dengan situasi politik semasa, walaupun orang-orang beliau sukar menerima layanan yang diterima.
Pemimpin yang lantang mengkritik kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Datuk Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Azalina Othman Said.