MahkamahUncategorized

Rakaman percakapan Zahid dibuat tanpa dokumen asal

Pertuduhan dibuat ketika siasatan belum lengkap

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu rakaman percakapan tertuduh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibuat tanpa dokumen asal diperolehi oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penyiasat SPRM, Khairuddin Kilau berkata, rakaman percakapan Zahid dibuat pada bulan Julai hingga Oktober 2018 tanpa cek asal kerana ia dalam proses pencarian oleh pihak bank.

Khairuddin berkata, cek-cek asal hanya diperolehi pada bulan November hingga Disember 2018, selepas diserahkan oleh pihak bank.

Pihak pembela berkata, Zahid membuat pengakuan bahawa tandatangan pada cek berkenaan adalah miliknya hanya berdasarkan imej cek dan bukan cek asal.

Ketika disoal balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mahkamah dimaklumkan situasi itu menyebabkan Zahid tidak dapat membezakan sama ada tandatangan itu adalah tulen atau merupakan cop tandatangan.

Sedangkan cek asal tidak ditandatangan oleh tertuduh tetapi telah dicop tandatangan oleh Mejar Mazlina Mazlan yang dipertanggungjawab menguruskan dan mentadbir kewangan Yayayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Cek-cek berkenaan hanya diserahkan kepada Jabatan Kimia pada 2019, bagi mengesahkan tandatangan itu adalah tulen.

Saksi terakhir kes berkenaan hari ini terdahulu turut memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Akalbudi telah membelanjakan wang sebanyak kira-kira RM100 juta dari tahun 2012 hingga 2018 yang kemudiannya diperbetulkan oleh pihak pendakwaan dalam soal balas bahawa jumlah tersebut dibelanja sejak yayasan itu ditubuhkan pada 1997.

Pihak pembela turut memaklumkan bahawa kewangan Yayasan Akalbudi adalah selain sumbangan, ia adalah daripada pendapatan perniagaan tertuduh dan ia gagal disiasat oleh pihak berkenaan.

Yayasan juga kebanyakan menjalankan aktiviti amal jariah dengan membina masjid, membina pusat tahfiz, mencetak al-Quran dan sebagainya.

Selain itu Yayasan juga terlibat di dalam aktiviti politik yang melibatkan dana sumbangan politik dan ia tidak menjadi masalah, tetapi tidak dipersetujui oleh saksi kerana yayasan berkenaan bukan institusi politik.

Saksi turut menyatakan bahawa yayasan berkenaan tidak pernah beroperasi pada alamat yang tertera pada maklumat diperoleh daripada SSM.

Saksi turut ditegur oleh pihak pembela kerana bersetuju dengan soalan pembelaan, tetapi pada masa yang sama menggelengkan kepala, selepas diasak dengan pelbagai soalan.

Bagaimanapun pihak pembela menyatakan adalah amalan biasa alamat didaftar adalah mengikut alamat setiausaha syarikat dan alamat operasi adalah berbeza dan saksi bersetuju kemungkinan itu berlaku.

Pihak pembela turut menyatakan tanggungjawab untuk mengemukakan dokumen audit dan urus tadbir yayasan adalah tanggungjawab setiausaha syarikat dan kegagalan berbuat demikian adalah salah mengikut undang-undang SSM dan bukan SPRM, ia dipersetujui oleh saksi.

Pihak pendakwaan juga menyatakan siasatan belum selesai ketika pertuduhan dijalankan tetapi tidak dipersetujui oleh saksi. Pembela kemudiannya merujuk kepada dokumen surat dari Jabatan Kimia mengesahkan cek ditandatangan tertuduh bagi melengkapkan siasatan dan ditandatangan oleh saksi sendiri.

Saksi menjelaskan pertuduhan dibuat kerana siasatan yang ada cukup untuk dibuat pertuduhan. Bagaimanapun pihak pembela tetap menekankan bahawa siasatan belum lengkap kerana laporan pakar tulisan dari Jabatan Kimia belum diperolehi, tetapi pendakwaan diteruskan juga.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung esok dan dijangka mahkamah akan menentu sama ada terdapat prima facie atau tidak bagi kes-kes berkenaan apabila saksi utama dan terakhir selesai memberi keterangan.

Jika tiada prima facie, pertuduhan akan digugurkan dan jika terdapat prima facie tertuduh perlu membela diri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button