Rakaman audio: ramai lagi individu akan dipanggil
LEBIH ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan berhubung kes pendedahan sembilan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Kami telah memanggil Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran video korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini.
Mengenai keaslian pemilik suara rakaman audio berkenaan, beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyiasat dan mengenal pasti kesemua rakaman suara berkenaan.
Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan satu rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.
Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.
Pada 16 Jan lepas, sepasukan polis berada di ibu pejabat SPRM dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu. – BERNAMA