Berita

Coronavirus: Agong titah diadakan solat hajat dan doa selamat

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Beliau berkata Seri Paduka sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan wabak itu serta amat prihatin dan bimbang dengan keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan 2019-nCoV.

“Seri Paduka menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak-pihak berkuasa tempatan dan di kawasan-kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

“Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat agar sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak 2019-nCoV hanya daripada saluran-saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti yang digariskan KKM.

— BERNAMA

 

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button