Raja Perlis Sambut Ulang Tahun Keputeraan ke-77
RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat berbuka puasa dengan seisi kerabat diraja terdekat baginda yang dianjurkan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid bagi meraikan hari ulangtahun keputeraan baginda ke-77 yang jatuh pada 17 Mei di Istana Arau pada malam semalam.
Lebih bermakna lagi, sambutan tersebut disambut ketika usia 2 dekad pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis bermula daripada 17 April 2000.
Walaubagaimanapun, sambutan bermakna itu disambut berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini dengan secara sederhana melibatkan hanya keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail sahaja memandangkan seluruh dunia kini memberikan penumpuan kepada usaha menghentikan penularan Covid-19.
Demikian menurut siaran kenyataan Istana Arau. Majlis dimulakan dengan iftar, solat maghrib, isyak, terawih secara berjamaah dan doa agar baginda terus dikurniakan kesihatan dan pemeliharaan Allah SWT serta doa agar pandemik ini segera lenyap dengan izin Allah.
Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak dan individu yang mempersembahkan ucapan sembah tahniah kepada baginda melalui pelbagai medium yang tidak dapat dijawab satu persatu. Baginda juga mendoakan agar negeri Perlis terus makmur, aman dan sentosa selamanya serta seluruh rakyat turut dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup sekarang ini dan juga pada masa-masa yang mendatang.
Sesungguhnya seluruh rakyat jelata di negeri ini terus menerus mendoakan semoga baginda dan Tuanku Raja Perempuan Perlis serta seisi kerabat diraja dikurniakan hidayah, dipelihara dan diberi perlindungan oleh Allah SWT sepanjang masa, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan, kekuatan serta kesejahteraan hidup yang berpanjangan untuk terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan negeri dengan penuh kasih sayang, adil dan saksama.
Untuk rekod, sebagaimana surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 8hb Januari 2018, bermula tahun yang sama, dan untuk tempoh sehingga 2021, Tuanku Raja Perlis telah memperkenankan agar sambutan rasmi dan hari kelepasan am mengambil sempena ulangtahun keputeraaan baginda di negeri ini diubah kepada 17hb Julai. Ini adalah kerana tarikh 17hb Mei untuk empat tahun tersebut jatuh pada bulan Ramadan ketika umat Islam melipatgandakan ibadat dan kemudiannya pada bulan Syawal pula untuk memberi laluan ketika umat Islam memperhebatkan silatulrahim bersama kaum keluarga dan sahabat handai sepanjang Aidilfitri.
Namun begitu, akibat Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini, maka baginda yang amat prihatin telah menitahkan pula agar segala program-program keramaian yang diaturkan bersempena sambutan berkenaan pada 17 Julai ini adalah dibatalkan bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan sewajarnya peruntukan tersebut bagi manfaat rakyat jelata yang benar-benar terkesan kehidupan mereka akibat daripada penularan wabak ini. – SM