Raja Muda Perlis titahkan ujian kesihatan bagi kakitangan pendidikan dilaksana setiap hari
Semua Institusi Pendidikan di negeri Perlis baik IPT mahupun sekolah disarankan supaya sentiasa memantau tahap kesihatan pengajar atau guru, kakitangan dan pelajar dengan menjalankan saringan gejala setiap hari di pintu masuk bagi memastikan hanya yang sihat sahaja yang hadir ke premis masing-masing.
Selain itu, penilaian risiko kepada pengajar atau guru, kakitangan dan pelajar juga perlu dijalankan secara berterusan terutamanya melibatkan aktiviti berisiko dan perjalanan ke tempat berisiko.
Pembelajaran juga wajar dilaksanakan dengan pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal antara pelajar, pemakaian pelitup separuh muka dan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer.
Kerapkan menjalankan sanitasi persekitaran terutamanya di permukaan yang kerap disentuh.
Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan bengkel motorsikal yang diusahakan oleh Mohd Irwan Shah Muslim di Kg Binjai Utan Aji sempena program MAIPs Peduli bilangan ke 13 bagi tahun 2022 pada petang semalam.
Mohd Irwan, menerima peruntukan sumbangan projek peningkatan sosio-ekonomi asnaf daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) berupa bantuan modal pusingan bernilai RM5,000 pada tahun 2020 dan baru-baru ini disumbangkan pula satu unit ‘compressor’ oleh MAIPs untuk membantu mengembangkan lagi perniagaannya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim pula meminta supaya ibu bapa di negeri ini yang masih belum mendaftarkan anak-anak yang berusia antara 5 hingga bawah 12 tahun untuk menerima vaksin kanak-kanak, segeralah daftarkan mereka untuk menerima vaksin COVID-19.
Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Baharum Saad 89 tahun, Ahmad Othman 79 tahun dan Abu Bakar Hussin 72 tahun di rumah mereka masing-masing. Kesemuanya tinggal bersama keluarga dan tiada pendapatan atas faktor kesihatan.