Raja Muda Perlis titah warga UniMAP agar peka perubahan dunia digital
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan kepada seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) supaya sentiasa memberikan perhatian sepenuhnya dan bertransformasi seiring perkembangan digital dunia hari ini.
Dalam konteks sebagai ‘Penjawat Awam’ pula, ‘transformasi diri’ adalah fokus utama yang perlu diberikan demi perkembangan individu dan juga kejayaan organisasi.
Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG 2019) Universiti Malaysia Perlis’ yang diadakan di Dewan Senat, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra petang ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor universiti.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi LPU universiti, Raja Datuk Azwane Raja Ariff, Naib Canselor, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad beserta kepimpinan tertinggi UniMAP.
Menurut Tuanku Raja Muda, sebagai seorang penjawat awam yang menerima arahan dari masa ke semasa, sentiasalah bersedia melakukan dan menerima perubahan dalam organisasi serta keluar dari ‘zon selesa’. Sebagai contoh, sekarang ini adalah zaman teknologi maklumat dan memerlukan semua untuk ‘celik digital’.
“Bagaimana untuk melakukannya? Mula-mula, cabar diri kita melakukan transformasi digital. Kedua, cari ilmu dan tingkatkan pengetahuan mengenai bidang tersebut yang secara tidak langsung mengembangkan pemikiran kita untuk lebih kreatif, berdaya saing dan maju ke hadapan seiring perubahan zaman”, jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Seramai 132 orang menerima ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)’ dan Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) pada kali ini dalam majlis yang dibahagikan kepada dua sesi. – SM