Raja Muda Perlis titah pergiat penanaman bakau di pantai
Penanaman pohon bakau sebagai contoh hendaklah dikekalkan malah dipergiatkan lagi di persisiran pantai negeri Perlis yang terdedah kepada hakisan dan ombak.
Penanaman pokok bakau juga mempunyai peranan yang penting dalam keseimbangan ekosistem pesisiran pantai di mana ia membekalkan nutrien kepada tumbuhan lain dan rantaian makanan kepada hidupan akuatik. Seterusnya menjadi aset penting kepada Perlis khususnya para nelayan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyempurnakan simbolik perasmian perniagaan ‘Bakery Roti’ yang diusahakan oleh Mohamad Izar Mohamad Zain dan isteri yang beralamat di Batu 12 Jalan Kaki Bukit.
Ia merupakan salah sebuah projek usahawan yang menerima peruntukan sumbangan sosio-ekonomi asnaf bernilai RM2,800 untuk tujuan membeli peralatan bengkel masakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) sempena program kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke 12 bagi tahun 2022.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, sebarang penerokaan secara berleluasa dan tidak terkawal seperti aktiviti akuakultur ikan dan udang, aktiviti maritim, penebangan bakau untuk cerucuk dan pencemaran boleh memburukkan lagi keadaan.
Tambah baginda, di Malaysia terdapat 117,786 hektar kawasan hutan paya bakau laut yang menjadi habitat utama pokok-pokok bakau. Begitu juga Perlis, mempunyai beberapa spot kawasan paya sekitar pesisir pantai Kuala Perlis hingga ke Sanglang,
yang boleh dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan, ekopelancongan, pusat pembiakan hidupan marin semula jadi dan berbagai lagi.
Kerjasama semua pihak memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian ekosistem pokok-pokok bakau sentiasa terpelihara dan terpulihara.
Baginda turut menyarankan supaya usaha penjagaan dan penyelenggaraan perlu dibuat secara berterusan untuk mengelakkan anak-anak pokok yang ditanam mati sebelum sampai masanya. Kesesuaian jenis pokok bakau juga perlu diambil kira dan sntara yang baik dan sesuai adalah jenis Bakau Kurap dan Bakau Minyak.
Sempena program tersebut Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah meninjau perusahaan telor itik premium di Kg Bilal Udoh dan juga menyantuni serta menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah setiap seorang kepada tiga orang asnaf terpilih terdiri daripada Sepiah Sulaiman 78, Supiah Noh 67 dan Noorzarina Darus 52 sepanjang kayuhan berkenaan.