BeritaPendidikan

Raja Muda Perlis titah graduan perlu diberi pendedahan secukupnya

Pasaran kerja kini sudah jauh berbeza berbanding pada zaman dahulu. Dewasa ini, pasaran kerja tidak lagi hanya tertumpu kepada kelayakan sijil semata-mata, tetapi turut mengambil kira ilmu pengetahuan dan persediaan yang dilakukan seseorang graduan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

Ketidaktentuan keadaan semasa turut memberi kesan hebat terhadap graduan bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. Kadar persaingan memperoleh pekerjaan juga begitu tinggi.

Mengambil kira keperluan dan situasi semasa itu, segala pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi melalui pelbagai dimensi berkaitan aspek yang meliputi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman wajar cuba diberikan secukupnya terlebih dahulu oleh pihak universiti supaya mereka benar-benar bersedia kelak.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan program “UniMAP Entrepreneur & Career Talk 2022” yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra pada hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan semua tentang kesan Covid-19 yang menyebabkan banyak pengurusan industri dan syarikat terpaksa dilakukan secara dalam talian. Penguasaan kemahiran digital sangat diperlukan. Justeru, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP menitah sarankan supaya para mahasiswa melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran terkini yang akan menjadi kelebihan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat suatu masa nanti.

Antara ahli panelis yang diundang pada kali ini bagi berkongsi pengalaman dan idea dalam program bermatlamatkan untuk membantu para pelajar dalam pemilihan laluan kerjaya mereka kelak ialah Ketua Pegawai Pemasaran & Komunikasi Bank Rakyat – Nizam Sani (‘Facing Change’), Pengarah Kanan Frost & Sullivan Asia Pacific – Barry Lim (‘What It Means To Be A Management Consultant’), Ketua Mastrak – Eena Khalil Lim dan Pengarah Eksekutif Energy Actions Partner – Ayu Abdullah (Entrepreneurship : The Real Squid Game’) serta Penasihat Envision Digital International Pte. Ltd. – Azaidi Mohd Lazim (‘Entrepreneurship in This Challenging Envolving World’).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button