Raja Muda Perlis tinjau Taman Anggur
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau sendiri segala kemudahan yang sudahpun disediakan di Taman Anggur Jabatan Pertanian Negeri Perlis yang kini kembali dibuka untuk menerima kunjungan orang ramai dan dijenamakan semula sebagai ‘Taman Buah-Buahan Eksotik Perlis’.
Taman seluas 9 hektar yang terletak bersebelahan dengan Kelab Golf Putra Perlis Sungai Batu Pahat dan juga Ladang Harumanis Bukit Bintang 2 ini dibuka kembali pada 1 Januari 2021 dan buat permulaannya sebagai tempoh promosi ini belum ada sebarang tiket bayaran masuk dikenakan lagi.
Mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Syed Zubir Syed Husin.
Antara yang menarik dapat para pelawat kunjungi dan pelajari di taman ini ialah ‘Laman Anggur’ yang buat masa ini mempunyai 9 jenis dan akan ditambah lagi varietinya dari masa kesemasa, ‘Laman Super Fruits’ seperti gac, markisa serta tin, ‘Laman Buah Naga’, ‘Kelapa Matag dan Pandan serta 17 jenis ‘Pokok Nadir’ yang akan ditambah sehingga lebih 30 jenis.
Pada ketika ini juga sudah ada terdapat lebih daripada 10 ‘photobooths’ yang disediakan untuk para pengunjung selain ‘Fish Feeding’ serta gerai-gerai makan yang berlatarbelakangkan pemandangan Banjaran Nakawan yang sungguh indah lagi menawan.