Berita

Raja Muda Perlis seru rakyat Perlis sokong program Jom Baca Bersama 10 Minit

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua rakyat di negeri Perlis untuk bersama-sama bangkit baca dan bersyukur atas nikmat yang telah dikurniakan kepada kita semua dengan menyokong program ‘JOM BACA BERSAMA 10 MINIT’ yang bakal dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada 21 April 2022 jam 11.00–11.10 pagi walau di mana sahaja mereka berada dan dalam apa jua keadaan mereka.

‘Mungkin dengan 10 minit bacaan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada kita, rezeki dan sebagainya. Ayuh, kita buktikan rakyat negeri Perlis, rakyat yang membaca!

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat melancarkan kempen dan promosi program berkenaan yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis secara santai di Tapak Bazar Ramadan Guring, Pauh dekat Arau pada petang semalam.

Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh AMMK Negeri merangkap YB DUN Pauh, Roziena Ahmad dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Azizi Janan.

Menurut Azizi, statistik ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ di negeri Perlis meningkat saban tahun bermula dengan hanya 8,153 penyertaan pada tahun pertama penyertaan dan meningkat kepada 55,506 penyertaan pada tahun 2019 namun berlaku penurunan pada 2020 tetapi kembali meningkat kepada 33,367 penyertaan pada 2021. Penurunan ini adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu dan program dijalankan secara maya. Adalah diharapkan supaya statistik ini akan kembali meningkat tahun ini dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak.

Terang beliau lagi, tema dipilih pada tahun ini ialah ‘Bangkit Baca & Bersyukur’ adalah simbolik kepada situasi kita ketika mendepani COVID-19 sehingga diisytiharkan endemik pada 1 April 2022. Justeru, rakyat Malaysia diseru untuk terus bangkit daripada episod kelam pandemik dan bersyukur hari ini kita masih kuat untuk terus mendepani cabaran berikutnya. Kini kita berada di fasa peralihan endemik dan bukan sahaja kita perlu bangkit dari segi ekonomi tetapi juga dalam ilmu dan pembacaan. Membaca menjadi elemen ‘life-long learning’ kepada semua. Untuk berjaya dalam semua bidang, memerlukan seseorang itu membaca, mendapat ilmu seterusnya meraih kejayaan.

Untuk rekod, ‘Program Jom Baca Bersama 10 Minit’ bermula dari tahun 2014. Ia juga sebagai sokongan daripada Perpustakaan Awam Negeri bagi meningkatkan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat dalam usaha mengajak #Malaysiamembaca dan menyokong Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button