Raja Muda Perlis seru rakyat peka terhadap penjagaan kebersihan sungai dan laut
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalalullail menyeru semua rakyat agar terus peka terhadap penjagaan kebersihan laut, sungai dan persisiran pantai.
Baginda memohon kerjasama para nelayan supaya bertindak sebagai agen pembersihan dengan membantu mengutip sampah yang terapung di laut atau sungai serta sisa makanan daripada bekalan makanan yang di bawa bersama disimpan dan sebaliknya sampah-sampah tersebut dibawa pulang dan dibuang ke tempat yang sepatutnya.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid An Nur, Kampung Chantek, Padang Besar.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menyerahkan bantuan tersebut bersempena program ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 23 bagi tahun 2021’ kepada amil kariah berkenaan, Mohd Fadzil Seman untuk diagihkan. Masing-masing menerima RM400 seorang.
Selain itu, Tuanku Raja Muda juga turut menyarankan supaya para peniaga serta pengunjung perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan penting terhadap kebersihan persekitaran pantai.
Pada masa yang sama baginda mengalu-alukan inisiatif terkini pihak Persatuan Anak Kuala Perlis (PEKOLA) melalui kempen yang cuba mengajak dan mendidik masyarakat setempat supaya bersama-sama mereka untuk ‘Jangan Buang Sampah Ke Dalam Sungai’ – ‘Sungai Bukan Tempat Pembuangan Sampah’ dan ‘Sungai Punca Rezeki’.
Tambah baginda, ‘Penduduk yang tinggal berhampiran laut dan sungai pula perlu sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan seperti tidak membuang sampah di persekitaran rumah atau ke dalam laut dan sungai’.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir mamaklumkan bahawa berdasarkan kajian setiap tahun, 13 juta plastik dibuang ke laut hasil daripada sikap tidak bertanggungjawab manusia dan dianggarkan pada tahun 2050 kelak, jumlah plastik di jangka akan melebihi jumlah ikan di laut.
Jelas Shamsuharizal, ‘Plastik-plastik yang dibuang seperti botol akan mengambil masa selama 450 tahun untuk terurai. Selain itu, sisa plastik terurai akan menjadi mikroplastik yang dianggap makanan oleh hidupan marin. Hal ini akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan ekosistem laut dan menjejaskan kesihatan manusia yang menjadikan hidupan laut seperti ikan sebagai sumber protein’.