Raja Muda Perlis seru rakyat beri sokongan kepada program perpaduan
KANGAR 26 Dis. – Rakyat di Perlis diseru untuk terus menyokong program-program perpaduan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak demi memastikan hubungan harmoni yang dikecapi hari ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Dalam hubungan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memainkan peranannya dengan melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada dialog antara agama dan budaya dari masa kesemasa di negeri Perlis.
Antaranya, program Dialog Harmoni yang melibatkan interaksi antara tokoh agama dan masyarakat pelbagai kaum, serta inisiatif Street Dakwah yang memberikan penerangan tentang Islam secara santai dan mesra.
Selain itu, MAIPs juga giat memanfaatkan platform digital seperti saluran Perlis Wisdom Channel untuk menyebarluaskan mesej kesefahaman dan keharmonian. Pendekatan ini bukan sahaja cuba mendidik, tetapi juga memupuk rasa hormat dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
“Melalui usaha sebegini, kita berharap mampu melahirkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan saling melengkapi, walaupun berbeza agama, budaya, atau kepercayaan”..
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Teluk Jambu, Bintong dekat Kangar baru-baru ini.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan bagi mengurangkan kadar kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan seberapa banyak jabatan dan agensi seterusnya memberikan impak ke tahap paling maksima.
Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Johari Jamaludin, 46 tahun, Rosmi Ali, 55 tahun dan Abu Bakar Mat Isa, 70 tahun kesemuanya dari Kampung Teluk Jambu.
Setiap mereka menerima Kits MAIPs Peduli, bantuan wang tunai sebanyak RM700 beserta beras Fidyah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa berangkat menyempurnakan perasmian The White Houze yang terletak di Jalan Teluk Jambu, Kampung Bintong sebagai tanda sokongan kepada promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Rumah inap ini menyediakan 6 unit ‘cottage’ yang lengkap dengan penghawa dingin, tandas, ‘smart tv’, kemudahan dapur memasak serta bbq set dan keperluan asas yang lain serta ruang tempat letak kenderaan yang luas termasuk untuk bas.
GALERI