Agama

Raja Muda Perlis seru institusi keluarga berperanan bantu anak yatim

Institusi kekeluargaan diseru agar memainkan peranan secara proaktif dalam usaha menyokong anak yatim dari pelbagai sudut termasuk perlindungan, pendidikan, kewangan dan kebajikan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan akan kepentingan usaha dan bantuan bagi memuliakan anak yatim secara berterusan sejajar dengan tuntutan agama.

“Anak-anak yatim merupakan generasi akan datang dan sepertimana kanak-kanak dan remaja lain, mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan dalam membentuk masa depan.

“Sehubungan dengan itu, besar harapan saya untuk melihat institusi kekeluargaan dan masyarakat berganding bahu dalam usaha berterusan menyokong anak-anak ini dari pelbagai sudut khasnya kasih sayang, kebajikan, pendidikan dan kewangan,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyantuni golongan anak yatim dari Kariah Kota Raja Arau di Masjid Negeri Arau petang semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000, hasil sumbangan masyarakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor kepada empat buah Rumah Kebajikan Anak Yatim di Negeri Perlis yang diserahkan melalui Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohammad Hazam Ismail.

Di akhir program yang sama Tuanku Raja Muda turut berkenan menyaksikan penyerahan van jenazah sumbangan daripada Syarikat Ummul Travel And Tours Sdn Bhd bagi kegunaan Masjid Negeri Arau yang diterima oleh Imam Besar Negeri, Ust Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button