Nasional

Raja Muda Perlis saran pelajar tingkat kemahiran insaniah

Dunia hari ini berhadapan persaingan. Hakikatnya, hanya mereka yang kuat, bijak, cekap dan berkemahiran akan mendapat tempat dan sanjungan manakala yang lemah akan ketinggalan dan tercicir.

Justeru, pelajar perlu meningkatkan kemahiran insaniah menerusi perkembangan teknologi yang semakin pesat dalam kehidupan seharian terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan. Ini bagi mengelakkan mereka daripada ketinggalan.

Contohnya kemahiran komunikasi bertulis seperti menulis di laman Facebook, Twitter, Instagram dengan memastikan penggunaan bahasa yang sesuai, mudah difahami serta mengambil kira ketepatan fakta. Pelajar boleh mengasah kemahiran membuat pembentangan melalui ‘live’ di FB atau Instagram. Perbanyakkanlah membaca kerana ia menjadikan pelajar lebih berfikiran kritis, rasional serta berpengetahuan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ’Taklimat Waris Sempena Pendaftaran Mahasiswa Baharu Diploma UniMAP bagi Sidang Akademik Tahun 2020/2021’ di Auditorium Bangunan Canselori UniMAP di kampus alamnya di Pauh Putra petang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pro Canselor.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke program yang diadakan secara maya tersebut disambut oleh Naib Canselor Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni – HEPA) Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan beserta kepimpinan tertinggi universiti.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor UniMAP, para pelajar juga hendaklah memanfaatkan segala sumber atas talian yang ada. Para pelajar hari ini lebih berdikari menggunakan sumber atas talian khususnya menerusi telefon bimbit. Wujudkanlah kumpulan belajar yang membolehkan diskusi serta saling membantu agar proses PdP berjalan dengan baik. Maklumkanlah sebarang masalah kepada para pensyarah agar anda segera dibantu.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mengalu-alukan para pelajar baru di UniMAP dan turut menitahkan syabas kepada sekretariat universiti di atas komitmen dalam memastikan perjalanan majlis berkenaan dan Majlis Suai Kenal (MSK) Digital berjalan dengan sebaik mungkin serta lancar.

Terdahulu, Badlishah memaklumkan bahawa keberangkatan Tuanku Canselor dan Tuanku Pro-Canselor berdua ke majlis berkenaan saban tahun merupakan komitmen tersendiri baginda berdua sebagai ‘simbolik’ penerimaan warga baharu di UniMAP sebelum diserahkan kembali kepada ibu bapa dan waris pada Hari Konvokesyen kelak, InsyaAllah.

Untuk rekod, sehingga petang tadi, seramai 580 orang pelajar baru sudahpun mendaftarkan diri masing-masing di UniMAP.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button