Raja Muda Perlis saran mahasiswa sertai aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawan
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para mahasiswa agar memanfaatkan masa yang terluang dengan aktif menyertai aktiviti kesukarelawan dan khidmat masyarakat dalam usaha melahirkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotik sekaligus memupuk budaya berfikiran sivik dan menjauhkan diri daripada menjadi punca kepada isu 3R.
Baginda bertitah, setiap individu mempunyai media sosial dan bebas memberi pendapat menerusi ruangan komen mahupun hantaran dari profil media sosial sendiri. Namun, setiap komen atau hantaran perlu dilakukan dengan adab dan disiplin ilmu bagi mengelakkan daripada terjerat dengan perbuatan adu domba yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Tuanku Syed Faizuddin Putra percaya sepanjang menuntut di UniMAP, banyak ilmu sama ada berkaitan akademik mahupun sahsiah diri telah ditimba. ‘Jika ingin memberi pendapat atau diberi pendapat, berhujahlah secara berfakta dan berlandaskan pemikiran wajar yang tidak mengganggu gugat 3R’, titah Baginda lagi.
Demikian titah perutusan Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sewaktu sidang kedua Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra pada petang tadi.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat konvokesyen berkenaan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Sri Sufri Haji Mhd. Zin, Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 376 graduan telah terlibat pada sidang kedua ini daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA).