Raja Muda Perlis saran korporat dan swasta beli cenderamata beridentiti tempatan
KANGAR, 5 Okt (Bernama) — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru sektor swasta dan syarikat korporat agar mengambil langkah sama seperti Kerajaan Negeri Perlis dengan membeli produk kraf beridentitikan negeri bagi tujuan cenderamata dan pakaian korporat.
“Saya gembira negeri Perlis mempunyai produk identiti tersendiri yang mengangkat motif Bunga Harumanis dalam penghasilan produk kraf,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa menyempurnakan penutup Festival Kraf Utara (FKU) 2024 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis dekat sini hari ini.
Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Justeru, Tuanku Syed Faizuddin Putra mahu melihat lebih banyak produk kraf bercirikan negeri Perlis dihasilkan dan dikomersialkan oleh usahawan serta komuniti kraf tempatan.
Baginda dalam pada itu, turut menyambut baik usaha dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kraftangan Malaysia dalam usaha memacu kecemerlangan industri kraf di negeri ini dengan memperkasakan usahawan kraf terus berdaya maju dan berdaya saing.
“Kraf merupakan sebahagian daripada seni budaya yang diwarisi sejak dahulu lagi serta menjadi simbol menyatukan perpaduan rakyat terutama dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
“Kemahiran pertukangan kraf yang diwarisi ini juga menjadi lambang ketinggian ilmu dan mencerminkan jati diri budaya masyarakat dalam sesebuah ketamadunan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah diharapkan usahawan dan komuniti kraf di Perlis mahupun di seluruh negara terus cemerlang dalam setiap bidang kraf yang diusahakan supaya berkembang ke arah lebih dinamik.
FKU 2024 yang berlangsung selama 10 hari bermula 27 Sept lepas melibatkan penyertaan 61 usahawan kraf dari negeri sebelah utara serta beberapa negeri lain.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot.