Raja Muda Perlis santuni mangsa ribut
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni mangsa ribut di sekitar kawasan Arau pada petang semalam.
Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM44,100 untuk 13 mangsa terlibat dengan kerosakan antara nilai RM400 hingga RM10,000 bergantung kepada jumlah kerosakan rumah yang dialami masing-masing.
Keberangkatan baginda diiringi Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang rabu itu, sebanyak 21 buah rumah terlibat merangkumi kariah sekitar kawasan Arau iaitu Jejawi Sungai Adam, Kubang Gajah, Alor Ara, Guar Gajah, Kota Raja Arau, Jelempok dan Sena.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor, pihaknya telah mengatur gerak lapangan untuk melaksanakan taksiran kerugian dan turut mengadakan penyelarasan bersama agensi-agensi berwajib lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Pihak MAIPs turut merakamkan ucapan tahniah atas tindakan pantas para amil kariah masjid terbabit yang memainkan peranannya menyelaraskan pasukan atur gerak bersama Pegawai MAIPs dan para pemimpin masyarakat yang terlibat selain turut mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang zakat yang sentiasa menghulurkan sumbangan mereka untuk diuruskan MAIPs. Semoga sumbangan mereka dapat dimanfaat untuk membantu mangsa yang terkesan,” tambah beliau.