Raja Muda Perlis mahu tulisan jawi kembali dimartabatkan
KANGAR 3 Nov. – Tulisan Jawi memiliki ‘roh’ dan identiti tersendiri yang harus diperkenalkan kepada generasi hari ini dan yang seterusnya agar tidak menghakis jati diri bangsa Melayu.
Masyarakat Melayu perlu mengatur strategi dalam mendepani cabaran khususnya peminggiran tulisan Jawi kerana tulisan ini menjadi identiti masyarakat Melayu itu sendiri dan perlu mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.
Tulisan Jawi juga perlu dilestarikan bagi membetulkan persepsi generasi kini yang beranggapan tulisan Jawi tidak relevan dan bernilai.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis sidang Pertama bagi tahun 2024 baru-baru ini. Mesyuarat tersebut diadakan di Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs bertitah, ‘Setiap bangsa di dunia mempunyai nilai warisan yang perlu dijaga dan dipelihara dengan baik. Bangsa Melayu merupakan bangsa hebat dan bertuah kerana mempunyai tulisan Jawi sebagai khazanah yang bernilai dan menjadi lambang kegemilangan tamadun Melayu dalam bidang keilmuan suatu ketika dahulu’.
‘Oleh itu, generasi kini perlu menyemai sifat kecintaan dan menghargai seni tulisan Jawi sebagai warisan bangsa Melayu. Bahkan, tulisan Jawi perlu diajar kembali dan diperkasakan bagi memartabatkan kembali tulisan Jawi sebagai seni warisan Melayu hingga ke persada antarabangsa’.