Acara

Raja Muda Perlis hargai peranan Rejimen 504 dalam bantu mangsa banjir

BUKIT KETERI 6 Okt. – Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia mengadakan Perbarisan Hari Ulang Tahunnya Yang Ke-44 di Padang Kawad Rejimen berkenaan di Kem Bukit Keteri semalam.

Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander berkenan berangkat merasmikannya.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Turut hadir ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan (APPS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A. Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah Baginda menyeru agar semua anggota Rejimen Askar Wataniah (AW) sentiasa bersedia dan siap siaga untuk dimobilisasi serta diaturgerak pada bila-bila masa terutamanya dalam keadaan atau suasana yang genting.

Baginda bertitah, Rejimen ini turut memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu Angkatan Tentera Malaysia di beberapa buah negeri baru-baru ini yang telah terjejas akibat bencana banjir dalam menyediakan bantuan tentera dan peralatan logistik kepada mangsa-mangsa banjir. Kerjasama tersebut membuktikan bahawa Rejimen Askar Wataniah ini mempunyai tanggungjawab dan peranan yang penting dan menyumbang kepada negeri dan negara yang tercinta ini.

“Penglibatan seumpama ini secara langsung dapat memberikan pendedahan yang menyeluruh khususnya melibatkan aspek pengurusan operasi dan bencana. Ia juga berupaya melatih dalam menyumbang tenaga dan khidmat pada saat-saat genting negara jika Angkatan Tetap memerlukan khidmat Angkatan Sukarela”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Acara perbarisan itu melibatkan penyertaan seramai 12 orang pegawai dan 80 orang anggota lain-lain pangkat.

Tuanku Komander berkenan untuk menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat yang melibatkan 8 orang anggota terdiri daripada Anggota Tetap dan Anggota Sukarela.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, Penolong Pegawai Memerintah Batalion 3, Mejar Mohd Haslan Ahmad Fuat, Sarjan Mohd Tarmizi Aziz, Koperal Mohamad Zaki Zainal Abidin, Koperal Siti Wan Nor Azizah Abidin, Koperal Abdul Roahim Hashim dan Koperal Norazimah Haidi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button