Raja Muda Perlis dan keluarga ucap selamat tahun baharu kepada rakyat Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menitahkan ucapan selamat menyambut tahun baru Masehi 2020 kepada seluruh rakyat negeri Perlis.
Tuanku Raja Muda Perlis amat berharap agar semua organisasi di negeri ini baik awam mahupun swasta berusaha keras untuk menjadikan masing-masing yang terhebat dan dapat dibanggakan.
Justeru itu, segenap pihak di setiap peringkat juga tidak mengenal erti putus asa serta haruslah sentiasa bermuhasabah, mencari inisiatif dan usaha baharu, untuk menjayakan segala fungsi dan peranan masing-masing.
Baginda juga yakin, berada di permulaan tahun seperti ini, semua kepimpinan organisasi akan memberikan fokus dan tumpuan terhadap segala perancangan terbaik untuk 2020 dan mengingatkan agar iktibar dan pedoman daripada setiap gerak kerja dan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab di sepanjang tahun 2019 yang lalu diambil sebagai pengajaran untuk memastikan segala perancangan yang disusun mempunyai keberkesanan, nilai tambah dan memiliki penambahbaikan yang jitu, Insyaallah.
Kepada golongan pelajar pula baik di peringkat tinggi mahupun sekolah, nasihat baginda ialah tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan usaha keras berterusan, banyak bertanya apa yang tidak difahami dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaefah selain mendapat dorongan kuat daripada ibubapa dan ahli keluarga.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam bagi meraikan ulangtahun Tuanku Raja Muda Perlis yang ke-52 yang dihoskan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid di ibunegara pada malam semalam.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kepada baginda seisi keluarga dan juga kepada semua yang telah mempersembahkan ucapan selamat menyambut hari ulangtahun keputeraan kepada baginda pada 30hb Disember melalui pelbagai medium termasuklah kad, surat, whatsapp dan juga media sosial yang tidak dapat baginda jawab satu persatu.