Raja Muda Perlis bertitah agar alumni UniMAP bantu naikkan imej universiti
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dapat membantu menambah baik kualiti penyampaian dan perkhidmatan UniMAP yang mana akan memberi kesan positif kepada para mahasiswa yang masih menuntut, dan juga kepada masyarakat sekaligus membawa imej yang baik kepada universiti ini.
Baginda bertitah, penyelidikan yang dihasilkan ketika belajar di UniMAP tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, sebaliknya penyelidikan yang pernah dilaksanakan harus dimanfaatkan untuk kesejahteraan komuniti setempat.
“Kredibiliti dan justifikasi yang dibawa bersama oleh alumni untuk dikongsi kepada mahasiswa sepanjang menuntut di UniMAP dapat memberi keyakinan dan inspirasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih baik seterusnya melahirkan siswazah UniMAP yang cemerlang”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika menyempurnakan sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra pagi tadi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah UniMAP, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 342 graduan telah terlibat pada sidang ketiga ini terdiri daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN). Mereka terdiri daripada Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik Dengan Kepujian (32 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer Dengan Kepujian (161 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dengan Kepujian (72 Graduan) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian (77 Graduan).