Raja Muda Perlis berkenan berangkat rasmikan bangunan wakaf Al-Ariffin
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Bangunan Wakaf Al-Ariffin di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, Kangar. Majlis ini diserikan dengan kehadiran ramai tetamu, termasuk tokoh perniagaan, Tan Sri Datuk Seri Haji Mohd Ariffin Mohd Yusof, yang juga penyumbang dalam pembinaan bangunan wakaf tersebut.
Tan Sri Ariffin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan serta Pengukuhan Inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), telah banyak memberi sumbangan besar dalam memperkukuhkan institusi masjid di Perlis. Antara masjid yang mendapat sumbangan beliau ialah pembinaan Masjid Al-Ariffin di Padang Katong, Masjid Terapung Al-Hussain di Kuala Perlis, dan projek renovasi Masjid Darus Salam Padang Keria, Simpang Empat.
Mewarisi semangat amal jariah daripada bapanya, Allahyarham Haji Mohd Yusuf, Tan Sri Ariffin meneruskan usaha memperkasa rumah ibadah sejak kecil. Allahyarham pernah mengetuai jawatankuasa pengumpulan dana untuk Masjid Acheh Kebun Lama di Pulau Pinang, yang menjadi inspirasi Tan Sri Ariffin dalam membantu membina masjid-masjid di Perlis.
Dalam perkembangan terkini, Tan Sri Ariffin mewakafkan RM1 juta untuk pembinaan ‘Dewan Wakaf Al-Ariffin’ yang merupakan Kompleks Tambahan baharu ruang solat dan aktiviti di Masjid lama berkenaan.
Dalam majlis yang sama, Pengerusi Masjid Al-Ariffin, Prof. Dr. Anuar Mat Safar, turut menekankan komitmen masjid tersebut dalam melaksanakan elemen kitar semula sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian alam sekitar. Usaha ini melayakkan Masjid Al-Ariffin menerima pengiktirafan Diamond oleh Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada tahun 2019. Pengiktirafan ini diberikan kepada Masjid Al-Ariffin sebagai Rakan Kongsi Rendah Karbon, sekaligus mengiktiraf usaha masjid dalam memelihara alam sekitar melalui pelaksanaan inisiatif rendah karbon.
Sebagai penerima Anugerah RFL (Recycle for Life) bagi kategori Rumah Ibadah, Masjid Al-Arififn kini terus menjadi contoh kepada komuniti setempat dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam dan menyokong usaha kelestarian.