Sukan

Raja Muda Perlis berbasikal sempena Hari Sukan Negara

Sempena Hari Sukan Negara peringkat Negeri Perlis pada kali ini Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam berkenan berangkat berbasikal sejauh 17km dan meninjau beberapa lokasi kemudahan sukan sedia ada di sekitar bandar Kangar.

Baginda diiringi Pengarah Majlis Sukan Negeri, Anuar Abidin meninjau Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra dan kemudiannya diiringi Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Norhazita Kamaludin berangkat ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri. Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah di Laman Woodball Dataran Sheikh Ahmad bagi menyaksikan bengkel pengenalan sukan woodball yang dianjurkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kangar dan disambut oleh Yang DiPertuanya, Norazlan Yahaya.

Dianggarkan seramai lebih daripada 20,000 peserta terlibat samada secara fizikal maupun maya dalam pelbagai aktiviti sukan di negeri Perlis sempena Hari Sukan Negara pada kali ini.

Tuanku Raja Muda bertitah agar semua masyarakat di negeri ini terus bersemangat untuk bersukan sebagai satu budaya hidup untuk diri sendiri, keluarga dan warga di tempat kerja melalui pelbagai aktiviti yang diminati mengikut kemampuan masing-masing sepanjang tahun dan bukan sekadar dilaksanakan untuk program-program berkala tertentu sahaja.

“Namun pada masa yang sama kita semua harus sentiasa mematuhi SOP yang ketat dan memastikan agar tiada sebarang penularan wabak Covid-19 sepanjang bersukan dalam memastikan tubuh badan kita sentiasa cergas dan minda kita cerdas”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button