Raja Muda Perlis berangkat pulang selepas program di Sarawak
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail petang semalam berangkat terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak selepas menghadiri Mesyuarat Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Tentera Darat Malaysia (TDM) Siri Ke-35/2024 di Hotel Pullman, Kuching.
Asisten Panglima TDM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A.Wahab dan Panglima 1 Divisyen TDM, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Kem Bukit Keteri, Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu daripada itu Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan TDM, Brigedier Jeneral Shamsor Hj Jaafar mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda di hotel.
Persidangan kali ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan melibatkan kehadiran komander-komander Siri 500 Askar Wataniah dari seluruh negara.