Raja Muda hadir Karnival Sukan Rakyat KeMAP
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Karnival Sukan Rakyat anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atau nama singkatannya KeMAP .
Penganjuran karnival sukan ini sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Padang Permainan Taman Desa Asnaf (TDA) MAIPs Batu Bertangkup, Chuping.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut meluangkan masa melawat projek menanam buah ‘rock melon’ yang baru sahaja diusahakan kembali oleh pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) ketika berada di TDA tersebut.
Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda berkenan mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli bagi menjejaki dan menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Husna, Batu Bertangkup bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs.
Para penerimanya pada kali ini adalah Romiah Lebai Diah, 85 di Kampung Batu Bertangkup; Mt Zainon Din, 70, di Kampung Sungai Buloh; dan Fatimah Sudin ,73 dari di Kampung Batu Bertangkup.
Selepas program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, individu serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) digalakkkan untuk terus mempromosikan nilai-nilai positif yang sesuai dengan budaya dan tradisi negeri dan negara ini.
Titah Baginda, ini boleh dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif yang mampu memupuk perpaduan, silang budaya serta pembangunan masyarakat dengan menyokong organisasi-organisasi yang sejajar dengan nilai teras kita. – SM