Negeri

Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis ucap selamat meraikan Deepavali

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan Selamat Bergembira dalam suasana dan SOP kelaziman baharu bersama seluruh ahli keluarga dan rakan taulan kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang menyambut Hari Deepavali pada khamis, 4 November 2021.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis menurut hebahan media yang disiarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga berkenaan untuk Kali Ke-33, Bilangan 1/2021 yang dilangsungkan secara digital.

Baginda mengingatkan kepada semua rakyat di segenap peringkat agar membulatkan tekad serta hasrat ke arah mengekal dan mempertahankan keutuhan perpaduan dan keharmonian kaum serta agama yang dikecapi sejak sekian lamanya di negeri dan negara bertuah ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan bahawa pepatah ada mengatakan “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh”. Tiada apa yang mustahil jika kita membulatkan tekad, keazaman, bekerjasama dan berusaha dengan sepenuh jiwa.

Mengenai YTSP Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan bahawa semua aktiviti dan program Yayasan yang berbentuk program secara bersemuka masih lagi tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Pelaksanaan rancangan Pembangunan Pusat Pendidikan Dan Latihan Autism (A-Heart) Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis fasa pertama pula akan mengambil tempoh 18 bulan untuk dibina sejurus selepas segala kelulusan dokumentasi diluluskan oleh pihak berkuasa kelak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button