PUTING beliung yang dikenali sebagai “belalai darat” atau “landspout” muncul lagi di Perlis pada kira-kira pukul 6.14 petang semalam.
Kali ini puting beliung itu dikatakan berlegar di udara lebih kurang lima minit di sebuah kawasan sawah di Kampung Kubang Gajah, Arau.
Sekali pun kejadian “belalai darat” kali ini tidak membawa sebarang malapetaka yang lebih dahsyat, sedikit sebanyak ia menimbulkan rasa cemas orang ramai yang melihat situasi ini.
Salah seorang yang menyaksikan putting beliung “belalai darat”, bekas pengetua sekolah, Zainol Abidin, 67, dari Kampung Simpang Geti, Mata Ayer mengakui turut cemas setelah menyaksikan kejadian itu ketika berada di luar kawasan rumahnya.
“Sebenarnya lokasi kejadian juga tidak jauh dari rumah sebab itu “belalai darat” ini nampak jelas,” katanya.
Zainol berkata, sekali pun beliau faham ini adalah waktu boleh berlaku puting beliung tetapi tidak menyangka akan berlaku berdekatan rumahnya.
Sementara itu, ramai dalam kalangan warga Perlis telah memuatnaik gambar dan juga video fenomena ini di Facebook (FB).
Masing-masing berkongsi mengenai kejadian alam yang disifatkan mengerunkan.
Tambahan pula ia boleh dilihat dengan jelas sehingga sejauh kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Perlis, Mohd. Saharudi Saad berkata, biasanya puting beliung jenis ini terbentuk apabila ada penumpuan angin di permukaan akibat udara panas naik ke atas.
“Angin yang menumpu masuk biasanya berputar arah lawan jam,” jelasnya.
Beliau berkata, puting beliung terbentuk akibat “vorticity stretching” iaitu udara panas yang bergerak ke atas.
Beliau berkata, ia berlaku pada peralihan dua monsun iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut pada pertengahan Mac hingga Mei dan September hingga Oktober.
Saharudi berkata, ia biasanya berlaku di kawasan berair dan kejadian ini kemungkinan boleh berulang lagi dalam masa terdekat ini. – SM