Puteri Jepun, Mako dan Komuro mendapat jolokan ‘Harry dan Markle dari Jepun’
PUTERI Jepun, Mako telah berkahwin dengan kekasih hatinya daripada zaman kolej iaitu Kei Komuro sekali gus kehilangan status dirajanya.
Dalam undang-undang Jepun, ahli keluarga empayar wanita akan kehilangan status mereka apabila berkahwin dengan ‘orang biasa’ walaupun perkara yang sama tidak berlaku kepada lelaki.
Menurut laporan BBC, Mako turut melangkau upacara biasa perkahwinan diraja dan menolak bayaran yang ditawarkan kepada wanita diraja sejurus mereka meninggalkan keluarga.
Dia adalah ahli wanita pertama keluarga diraja yang melangkau kedua-duanya sekali.
Pasangan itu dijangka berpindah ke Amerika Syarikat di mana Komuro bekerja sebagai seorang peguam selepas berkahwin.
Tindakan yang dibuat itu boleh dibandingkan dengan kerabat diraja Britain, Meghan Markle dan Putera Harry, menyebabkan mereka mendapat jolokan ‘Harry dan meghan dari Jepun’.
Seperti Markle, Komuro mendapat perhatian yang hebat sejak hubungannya dengan Mako diumumkan sehingga baru-baru ini dia dikritik kerana gaya rambut ikat ekor kudanya apabila dia baru-baru ini kembali ke Jepun.
Ada yang merasakan bahawa gaya rambutnya tidak sesuai dengan seeorang yang akan berkahwin dengan seorang puteri.
Akhbar Kyodo melaporkan bahawa Puteri Mako meninggalkan kediamannya di Tokyo sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan pada hari Selasa untuk mendaftarkan perkahwinannya.
Tambahan itu, sebelum berangkat pergi, dia menunduk beberapa kali kepada ibu bapanya, Putera Mahkota Fumihito dan Puteri Mahkota Kiko di samping memeluk adik perempuannya.
Pasangan tersebut dijangka akan mengadakan sidang akhbar pada Selasa di mana mereka akan membuat kenyataan pembukaan ringkas dan memberi jawapan bertulis kepada lima soalan terpilih yang telah dikemukakan lebih awal.
Menurut Agensi Rumah Tangga Imperial Jepun (IHA), ini kerana puteri itu merasakan perasaan bimbang dan takut yang kuat kerana perlu menjawab soalan secara lisan.
Terdahulu, IHA turut mengatakan bahawa pasangan itu telah mendapat liputan media yang berlebihan selama bertahun-tahun menyebabkan puteri itu mengalami gangguan tekanan kerana trauma.
Hubungannya menimbulkan kontroversi di seluruh negara Jepun.
Puteri Mako telah bertunang dengan Komuro pada tahun 2017 dan menetapkan untuk berkahwin pada tahun 2018, namun terpaksa ditangguhkan berikutan masalah kewangan yang dialami oleh ibu kepada Komuro yang dikatakan telah mengambil pinjaman daripada bekas tunangnya dan tidak membayarnya.
Pihak istana menafikan akibat penangguhan perkahwinan tersebut walaupun Putera Mahkota mengatakan isu wang adalah sangat penting untuk ditangani sebelum mereka berkahwin. – SM