Nasional

Pupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja melalui program belia – Pemangku Raja Perlis

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar usaha untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan golongan belia menerusi penganjuran program dan aktiviti khusus buat belia dan anak muda bagi memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional perlu dipertingkatkan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, seluruh masyarakat terutamanya belia wajar memanfaatkan segala peluang bagi melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan terutamanya 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha membentuk jati diri, menjauhi najis dadah dan pembudayaan sifat kesukarelawanan.

“Saya menyambut baik dan menyokong setiap usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dalam menyediakan platform strategik bagi golongan belia berkumpul dan berkongsi aspirasi demi pembangunan modal insan seterusnya menyumbang bakti khusus buat negeri Perlis dan Malaysia amnya”, titah Tuanku Pemangku Raja lagi.

Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Pekan Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh dan Yang DiPertua Majlis Belia Negeri Perlis, Izan Asmawi Habidan.

Hadir sama adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perlis bertujuan untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara, negeri dan masyarakat setempat.

Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan penganugerah Perdana Belia Peringat Negeri Perlis. Johan kategori individu lelaki disampaikan kepada Abdul Khalim Al Azizi Syahril, Naib Johan, Muhammad Saniy Samsudin dan Tempat Ketiga, Mohd Fahimie Hassan. Bagi Johan kategori pertubuhan pula kepada Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis, Naib Johan, Angkatan Belia MFLS Cawangan Negeri Perlis dan Tempat Ketiga, Kelab Indera Kangar

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penganugerahan Perdana Belia Peringat Negeri Perlis bagi Johan kategori individu wanita kepada Nur Khairina Irwani Khairi, Naib Johan, Nur Adiniy Fikriyah Mohammad Azizi dan Tempat Ketiga, Atiqah Elya Mohd Azlan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar para belia di negeri ini tanpa mengira latar belakang perlu terus mengorak langkah melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu, integriti, kepakaran, sihat tubuh badan dan ‘Yakin Boleh’ untuk membuktikan “Perlis Hebat” dan “Rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan” dapat terlaksana dengan erti kata yang sebenarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button